KOTA BHARU: Empat lelaki tempatan berusia lingkungan 45 hingga 70 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam pemalsuan dokumen pada 3 Oktober lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pemalsuan dokumen berkenaan adalah berkaitan surat sokongan ke atas salah satu projek pembangunan di Kelantan.

Surat palsu itu menyerupai surat yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Kelantan dengan mengandungi titah kononnya dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia KDYMM Sultan Kelantan.

"Pada  28 September lalu, jam lebih kurang  8.00 malam, semasa berada di Kota Bharu, Kelantan, pengadu telah membaca mesej di aplikasi whatsapp dari yang disertakan imej sekeping surat bertarikh 15 September 2022 yang mengandungi tandatangan pengadu.

"Pengisian surat itu bahawa kononnya KDYMM Sultan Kelantan telah perkenan menyokong penuh usahasama antara tiga buah syarikat untuk melaksanakan satu projek di salah sebuah jajahan di Kelantan.

"Pengadu menafikan tidak pernah mengeluarkan surat itu dan mengesyaki terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah menyamar sebagai pengadu menandatangani surat palsu tersebut," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, laporan polis yang telah dibuat pada 3 Oktober lalu telah disiasat mengikut seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu tipu dengan jalan samaran.

"Keempat-empat suspek yang ditahan itu telah direman sehingga semalam dan kes masih dalam siasatan," tambahnya.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sebarang dokumen yang diterima dalam situasi yang meragukan.

"Semakan hendaklah dibuat dengan pihak yang mengeluarkan dokumen tersebut atau agensi yang berkaitan,"katanya lagi.